Belajarlah menyanyangi seseorang nescaya hidup akan bahagia.bahasa omputeh sikit hari nie.......
Apa
pun bentuk bencana atau musibah yang melanda, pada hakikatnya ia
memiliki peranan yang besar dalam mendidik jiwa kita. Ini kerana sudah
semestinya jiwa itu perlu dididik meskipun menerusi penerima bencana.
Hal demikian semata-mata untuk menguatkan hati, keteguhan sikap, terlatih dan sentiasa waspada terhadap persekitaran.
Pada
hakikatnya musibah itu merupakan sunatullah, sebagai suatu proses sebab
akibat daripada tindakan seseorang. Musibah itu juga merupakan
peringatan daripada Allah SWT, sebagai ujian keimanan dan setiap musibah
itu tidak selamanya tanda kemurkaan Allah SWT.
Pada
saat itu seseorang manusia harus segera menyedari bahawa apa yang
paling penting ialah iltija, iaitu mencari perlindungan diri kepada
Allah SWT semata-mata, ketika di mana seluruh tempat bergantung tidak
berupaya membantunya untuk menghadapi bencana tersebut.
Tidak
ada tempat berlindung kecuali berada di bawah naungan-Nya. Tidak ada
pertolongan kecuali daripada-Nya. Sehubungan itu, Allah SWT berfirman
yang bermaksud: "Tidak
ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin
Allah; dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan
memberi petunjuk kepada hatinya." (Surah At-Taghabun: 11)
Sebahagian
daripada tanda-tanda kebesaran Allah SWT ialah menjadikan kita atau
keluarga sebagai tempat sasaran ujian-Nya. Musibah, memang akan selalu
mengekori umat manusia di dunia ini kerana ia adalah tempat ujian dan
cubaan. Hal demikian ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang
bermaksud: "Dan sesungguhnya akan Kami ujikan kamu dengan sedikit daripada ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan." (Al-Baqarah: 155)
Ini
semua bertujuan memperbaiki ketakwaan dan kesabaran hamba-Nya dan akan
memilih siapa yang berjaya menerima ujian tersebut dengan penuh
kesabaran. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mereka yang banyak menerima ujian itu ialah para nabi, siddiqin dan salihin, kemudian mereka yang mengiringi..."
Segala
ujian itu seharusnya ditempuh dengan penuh kesabaran kerana ini akan
mendekatkan lagi dirinya kepada Allah SWT. Ingatlah bahawa Allah
sentiasa bersama orang yang sabar. Bukan bererti orang yang sabar itu
akan bergembira apabila ditimpa kesusahan dan ujian tetapi mereka tetap
sedih dan dukacita.
Namun, mereka
tidak akan bertindak di luar batasan agama. Nabi Muhammad SAW contohnya,
pada hari kematian anak kesayangan baginda, Ibrahim, tetap bersedih dan
air mata berlinangan, tetapi tidak melakukan sesuatu di luar batas
agama melainkan apa yang diredai oleh Tuhan. Maka, orang yang memiliki
tahap kesabaran yang tinggi telah benar-benar memurnikan tauhid dan
mengikhlaskan doa hanya untuk Allah.
Tabah
Tatkala
seseorang Muslim yang tabah menerima musibah, dia mendapat penilaian
yang sangat tinggi daripada Allah. Bahkan, itulah saat yang tepat untuk
mendapatkan keampunan atas kesalahan dan dosa-dosa yang dilakukannya
selama ini. Makin besar musibah yang dihadapinya dan makin kuat
kesabaran ia menghadapinya, maka besar pahala yang akan diterimanya.
Demikianlah
contoh keperibadian mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam
menghadapi ujian daripada Allah SWT. Justeru digalakkan mereka yang
ditimpa musibah berkata sebagaimana yang dituntut oleh agama: "Kami hanya bagi (milik) Allah dan kami tetap kembali mengadap-Nya." (Surah al-Baqarah:156)
Di
dalam al-Quran dinyatakan untuk mereka yang berjaya menghadapi ujian
itu akan mendapat penghargaan daripada Allah, juga rahmat-Nya dan mereka
itu memperoleh petunjuk. Hati mereka sekali-kali tidak akan terlintas
atau terbawa-bawa dengan perasaan yang terselit persoalan kenapa Allah
memilih diri atau keluarga mereka sebagai tempat ujian-Nya.
Kesabaran
yang tinggi amat dituntut dalam Islam. Dengan memiliki jiwa yang
sedemikianlah umat Islam akan menjadi umat yang teguh peribadi dan kukuh
jati diri, tidak gentar akan segala dugaan atau bencana yang menimpa.
Yakinlah
bahawa ada hikmah di sebalik bencana yang menimpa. Rahmat Allah
sentiasa terbentang selagi kita yakin dengan jalan menuju ke arah
keredaan-Nya.
Allah SWT telah
menegaskan bahawa semua yang ada di alam ini adalah milik-Nya, termasuk
orang-orang yang kita cintai, harta benda yang ditakuti akan berkurang
dan hilang, seperti pangkat, kedudukan dan kerjaya.
Oleh
kerana semuanya milik Allah SWT, cepat atau lambat pasti akan kembali
kepada pemiliknya yang asli iaitu Allah SWT. Ada pun diri kita hanyalah
sekadar pemegang amanah untuk menjaganya atau memeliharanya.
Oleh
kerana bencana itu kekuasaan Allah SWT secara mutlak, sedangkan Allah
tidak pernah zalim kepada makhluk ciptaan-Nya, maka di sebalik bencana,
musibah atau bala terdapat banyak hikmah bagi para hamba-Nya yang
beriman.
Kematian yang menyayat
hati akibat banjir atau tanah runtuh adalah ketentuan terbaik pada
pandangan Allah, penguasa alam semesta.
Tidak
ada yang bakal terjadi di alam raya ini kecuali atas izin dan
kehendak-Nya. Meskipun, perlu diingat bahawa kehendak-Nya tercermin pada
hukum-hukum alam yang diciptakan-Nya.
Apabila
seseorang tidak menyesuaikan diri dengan kehendak-Nya yang tercermin
dalam hukum-hukum alam itu, dia pasti mengalami kesusahan serta
kesukaran. Dia akan mengalami bencana, baik pada dirinya mahupun
persekitarannya.
Di sini kita sepatutnya berkata bahawa bencana itu adalah kehendak-Nya jua. Bukankah Dia yang menciptakan hukum-hukum-Nya?
Mengabaikan
tanda-tanda kehadiran Allah menjadikan hati gersang dan kacau, dan
mengundang jauhnya rahmat Allah dan datangnya bencana. Mengambil kira
hakikat rentetan fenomena demi fenomena yang berlaku masa kini, pastinya
dapat direnungi kesudahan hasil daripada tangan manusia dan perbuatan
yang dapat mengasingkan antara perkara buruk dengan yang baik.
APABILA
berdepan dengan masalah, lazimnya diri di selubungi tekanan, malah
fikiran boleh menjadi celaru kerana memikirkan masalah yang tidak
berpenghujung. Bagi meringankan tekanan, ada beberapa cara patut
diketahui:
1. Bersabar dengan segala yang menimpa. “Wahai
anakku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta
laranglah daripada melakukan perbuatan mungkar, dan bersabarlah atas
segala yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari
perkara-perkara yang dikehendaki melakukannya.” (Surah Luqman, ayat 17)
2.
Anggap masalah itu sebagai satu ujian, yang akan meningkatkan keimanan
dan ketabahan. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud: “Patutkah
manusia menyangka bahawa mereka akan di biarkan dengan hanya berkata:
Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” “Dan
demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada
mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang
sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang
orang yang berdusta.” (Surah Al-Ankabuut, ayat 2-3)
3. Setiap masalah ada hikmahnya, seperti dapat menggugurkan dosa. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tidaklah
seorang Muslim ditimpa penyakit, melainkan Allah akan menggugurkan
bersamanya dosa-dosanya, seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
4.
Kesulitan, masalah dan kesempitan akan menyedarkan manusia betapa
kerdilnya diri sebagai hamba, sekali gus menyedarkan diri akan keagungan
dan kekuasaan Allah. “Orang
yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata:
Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.” (Surah al-Baqarah:156)
5.
Adanya masalah, kesakitan dan kesusahan, membolehkan manusia membezakan
di antara keselesaan (nikmat) dan kesengsaraan (bala). Justeru, ketika
inilah manusia dapat menjiwai erti kesyukuran.
6. Ujian adalah tanda Allah mencintai seseorang itu. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Sesiapa dikehendaki Allah baginya kebaikan, akan diberikan cubaan kepadanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
7. Ingatlah masalah dan kesulitan yang kita hadapi lebih ringan dan lebih kecil daripada masalah yang dialami orang lain.
8.
Menyedari hakikat, kehidupan tidak lari daripada masalah, cuma bezanya
kecil atau besar masalah dihadapi. Jika masalah kecil bolehlah
diselesaikan sendiri dan sekiranya besar, cubalah dapatkan mereka yang
lebih berpengalaman untuk dikongsi bersama.
BERIKUT antara sembilan petua daripada Rasulullah SAW untuk mencapai doa mustajab.
- Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Doa antara azan dan iqamat tidak akan ditolak."
- Sesungguhnya Rasulullah bersabda: "Allah akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: "Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya.
- Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Tiga orang yang tidak ditolak doanya iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka."
- Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Aku dilarang membaca al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat antara hamba dan Tuhan-Nya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu."
- Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah kerana sesungguhnya binatang itu melihat malaikat. "Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah daripada godaan syaitan kerana binatang tersebut melihat syaitan."
- Ubadah bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. "Apabila beliau berwuduk (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah."
- Ata bin Abi Rabah berkata: "Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang membaca surah Yasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan."
- Hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: "Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: 'Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.'
- Hadis daripada Abu Hurairah: Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda: "Pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bila mana seorang Muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu."
Jom tengok video nie.. Tak tengok nanti Rugi! Rugi! Rugi! :D
No comments:
Post a Comment