Busana Muslim vs Tabarruj
Busana Muslimah sudah menjadi trend hari ini. Jubah dengan pelbagai
fesyen dan fabrik, tudung dengan pelbagai corak, potongan dan cara
pemakaiannya. Persoalannya ialah benarkah busana tersebut telah
benar-benar menepati cara berpakaian menurut syariat Islam ? Adakah ia
benar-benar Busana Muslimat dengan ertikata yang sebenar ?
Konsep yang mudah tentang menutup aurat sama
ada lelaki atau perempuan ialah longgar, tidak fit, tidak nipis atau
jarang dan tidak berlebih-lebihan..... Yang ramai lakukan, adakah
menutup aurat atau sekadar membalut, membungkus atau packing aurat? Ini
adalah kerana, tabarruj tetap boleh terjadi walaupun wanita itu menutup
aurat.
PENCERAHAN :
Contohnya hari ini kita dapat
lihat di khalayak ramai wanita yang bertudung tetapi berpakaian
menampakkan bentuk tubuh atau sanggul, berfesyen hingga menjadi
perhatian, memakai wangi-wangian atau solekan yang berlebihan. Ini semua
dikira sebagai tabarruj.
Ibnu Manzur berkata, "Tabarruj ialah
apabila seorang wanita mendedahkan kecantikan dan keelokannya kepada
lelaki (yang bukan suaminya)". Firman Allah SWT dalam sebahagian Surah
An-Nur :
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ
وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ
مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ...َ
"Dan
katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara
kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh
mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup
belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka..." (QS, An-Nur : 31)
Abul A’la al Maududi berkata : “Kalimat tabarruj yang dipergunakan di
dalam Al-Quran yang ditujukan kepada kaum wanita, mengandungi pengertian
:
1- Wanita yang menunjukkan kecantikan wajahnya, daya tarik tubuhnya kepada lelaki asing (bukan mahramnya)
2- Wanita yang mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada lelaki asing. (rantai leher, kaki dll)
3- Wanita yang mempromosikan dirinya, kemanjaannya, gerak-gerinya dan keharumannya.
DALIL PENGHARAMAN TABARRUJ :
“Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan
bertingkah laku seperti orang jahiliah.” (QS, Al-Ahzab : 33)
Sifat-sifat tabarruj di zaman jahiliyyah itu adalah seperti berikut:
a - Seorang wanita yang keluar dari rumah dan berjalan di antara lelaki.
b- Wanita yang berjalan berlenggak-lenggok dan penuh gaya, genit dan gedik (3G)
c- Wanita yang memakai wangian yang menggoda.
d- Wanita yang mengenakan pakaian yang dihiasi batu permata.
e- Wanita yang mengenakan kerudung namun anting-anting dan kalungnya tetap diperlihatkan.
f- Wanita yang berkerudung tetapi bersanggul tinggi seperti bonggol unta.
Tabarruj juga boleh berlaku kepada orang lelaki, walaupun aurat mereka
lebih ringan, tetapi masih ada yang menampakkan aurat. Contoh memakai
baju dan seluar ketat sehingga kelihatan bentuk badan yang sasa atau
bentuk punggung. Sengaja mencukur janggut, bersolek atau berdandan
seperti wanita, atau berhias berlebih-lebihan kerana mahu kelihatan
menonjol dan dikagumi.
Berpakaian dan peliharalah penampilan
agar nampak bersih dan kemas secara sederhana. Banyak wang yang
dibazirkan untuk tujuan kosmetik dan fesyen, seperti tidak yakin dengan
kecantikan diri yang telah diberi oleh Allah SWT.
KESIMPULAN :
Islam tidak menentang kecantikan selagi mana ia tidak melampaui batas.
Kepada suami atau isteri, silakan berhias secantiknya kepada pasangan
masing-masing . Apabila terdedah kepada bukan mahram, tutupi keinginan
tersebut. Cukuplah untuk berpakaian sopan menutup aurat, kemas dan
bersih sekadarnya sahaja. Sebab kita nak cari redha Allah dan bukan
redha manusia sahaja.
Wallahu a'lam
No comments:
Post a Comment